Jumaat, 29 Jun 2012

PERCAYA DENGAN DIRI , ANDA YANG HANYA BOLEH MENGUBAH DIRI SENDIRI

Semalam, cikgu melihat semula gambar cikgu bersama rakan-rakan ketika sekolah rendah dahulu.. Tercuit hati seketika melihat wajah ribena masing-masing.
17 tahun yang lalu.



Masing-masing sudah membina empayar kehidupan sendiri.



Kenangan yang sukar dilupakan.

Zaman ini telah lama berlalu. Dah 17 tahun rupanya, rasa macam baru semalam bersama-sama mereka. Bila diimbau balik masa tersebut dan membandingkan dengan kehidupan yang masing-masing lalui kini, tiada ungkapan yang dapat dirakamkan selain bersyukur dengan nikmat yang Tuhan berikan. Semuanya sudah berjaya dengan kerjaya masing-masing. Terima kasih kepada semua guru yang pernah mengajar kami. Walau di mana pun kedudukan kami sekarang, Alhamdulilah kami telah melepasi ujian dan cabaran untuk membina kehidupan sendiri. Kalau dahulu, kami dijaga oleh ibu bapa, kini tugas itu beralih pula ke tangan kami. Membesarkan anak-anak dan pada masa yang sama menjaga kebajikan ibu bapa yang banyak berkorban untuk menjadikan kami seperti mana diri kami sekarang.

Setiap kali terpandang wajah murid-murid yang ada di hadapan cikgu sekarang, terbayang di fikiran cikgu bagaimana kehidupan yang bakal dilalui oleh kamu 17 tahun akan datang. Terfikir betapa besarnya bebanan yang dipikul di bahu untuk membantu kamu mencari laluan hidup yang boleh membawa menjadi seorang anak yang boleh dibanggakan oleh ibu bapa. Memang benar kebolehan dan keupayaan setiap orang tidak sama. Namun begitu, percayalah dengan satu perkara bahawa setiap orang ada keistimewaan dan kebolehan yang tersendiri. Berusahalah mencari keistimewaan ini dan bila sudah berjumpa "dengannya", terokalah apa yang kamu jumpa itu seluas-luasnya dengan cara yang positif. Jika ini yang terjadi, cikgu yakin kamu juga akan berpeluang merasai nikmat mengecapi kejayaan kamu sendiri yang boleh dibanggakan oleh semua orang. 

Mungkin sesetengah murid cikgu kerap kali mendengar perumpamaan yang cikgu bina sendiri ini, 

Kalau nak buat kek coklat, jangan guna resipi kek pisang
Kalau nak tanam pokok sawi, jangan guna benih kangkung
kalau nak diri disayangi, jangan buat perkara yang dibenci
kalau nak berjaya, jangan hampiri perkara yang merosakkan diri

PERCAYA DENGAN DIRI , ANDA YANG HANYA BOLEH MENGUBAH DIRI SENDIRI